Berikutan pemberian bonus sempena perayaan Aidilfitri
bulan hadapan oleh kerajaan Pusat, kerajaan negeri Selangor pimpinan
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim turut dijangka akan memberikan
bonus sama kepada penjawat awam di negeri pimpinan kerajaan Pakatan
Rakyat tersebut.
“Kakitangan awam kerajaan negeri Selangor juga akan menerima imbuhan
Aidilfitri jika Kerajaan Pusat memutuskan pembayaran bonus perayaan
bulan depan, kata Khalid hari ini. Tambah Khalid (gambar) lagi, pentadbirannya akan
memastikan kakitangan awam di bawah kepimpinannya akan menerima jumlah
sama sepertimana penjawat awam kerajaan Pusat sekiranya mereka
memutuskan untuk membayar “bonus” sempena sambutan Aidilfitri kali ini.
“Jika kakitangan Pusat dapat, begitu juga kakitangan awam yang
bekerja di peringkat negeri. Kadarnya akan sama sebab ia ada kaitan
dengan pencen,” kata ADUN Ijok itu kepada pemberita di sini, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini telah mengumumkan
akan mempertimbangkan pemberian imbuhan sempena sambutan Aidilfitri
kepada penjawat awam kerana ia bergantung kepada kemampuan kerajaan.
Najib turut berkata beliau akan melihat “buku kira-kira” kerajaan terlebih dahulu berhubung perkara itu.
“Nantilah kita semak-semak dahulu, belek-belek dahulu, kena
tengok-tengok buku kira-kira dahulu... kalau apa-apa pun kita semak
dahulu, apa-apa keputusan mesti berdasarkan kepada kemampuan kerajaan,”
katanya ketika diminta mengulas tuntutan Kongres Kesatuan
Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengenai pemberian
imbuhan itu baru-baru ini.
Pada 16 Julai, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata pihaknya
sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam
mendapat imbuhan itu dan tidak menyebabkan pihak tertentu mengambil
kesempatan seperti menaikkan harga barangan.
Sumber :
2 comments:
Wah... double bonus! Bagus... bagus...
rezeki di Ramadhan yg mulia....semoga dimakbulkan laaa...Amin
Post a Comment