Katak Puru: Menjadi 'Alat' mainan santau
Risiko sebagai anggota polis bukan sekadar ancaman maut melalui senjata moden, tetapi turut diserang melalui cara mistik oleh penjenayah yang menyimpan dendam kesumat apabila kegiatan mereka ditumpaskan.
Itu terpaksa ditempuhi seorang anggota polis hanya mahu dikenali sebagai Hafis dan empat rakan sekerjanya yang kini menderita sakit perut dipercayai akibat ditujukan ‘santau katak puru’ dan ‘santau angin’ oleh seorang dalang sindiket mencuri motosikal.
Dia dan tiga rakan lain mengalami nasib sama, namun cara santau yang digunakan berbeza. Kata pengamal perubatan tradisional, mereka berempat ditujukan santau angin yang menyebabkan mereka sakit perut. Menurut beliau orang yang menghantar santau itu menggunakan objek seperti paku, jarum, rambut dan tulang babi hutan sebagai ramuan racun yang dimasukkan ke dalam makanan mereka.
Mereka dinasihatkan supaya tidak makan di restoran kegemaran kerana racun santau itu ditujukan terus ke situ. Bukan sekadar melalui makanan, malah racun santau juga akan ‘melekat’ pada badan mereka setiap kali mereka datang ke restoran berkenaan.
Menurut Hafis, 23, akibat perbuatan itu seorang daripada rakannya paling teruk menderita apabila ditujukan santau katak puru hingga menyebabkan perutnya membesar seperti wanita mengandung dan keras seolah-olah diisi pasir dan batu.
Menurutnya, kejadian itu mula mereka sedari awal bulan lalu apabila seorang rakan terbabit memberitahu dia menerima SMS amaran berbunyi ‘siaplah korang, salah satu jarum akan kena pada kau dan kawan-kawan kau yang lain...tunggu je lah hari mati korang’.SMS itu dihantar seorang daripada suspek sindiket mencuri motosikal yang mereka tumpaskan Mei lalu dan dia kini masih dalam proses pengadilan.
Namun, mereka tak ambil berat sangat mengenai SMS itu kerana hal ugut-mengugut dan amaran sudah lumrah dalam kerjaya mereka. Bagaimanapun, kata Hafis, telahannya meleset apabila selang seminggu kemudian, dia menerima khabar seorang rakannya yang terbabit dalam usaha melumpuhkan sindiket mencuri motosikal itu sakit teruk akibat penyakit misteri.
Pengamal perubatan tersebut mengatakan penyakit itu ada kaitan dengan seekor katak puru yang diletakkan dalam kawasan rumahnya dan haiwan itu digunakan sebagai ‘alat’ untuk memastikan ilmu hitam yang ditujukan kepada mangsa lebih berkesan.Lebih menakutkan, pengamal perubatan berkenaan memberitahu jika katak itu tidak ditemui, kawannya itu sukar dipulihkan dan akan menemui ajal perlahan-lahan, katanya.
Hafis berkata, bimbang keadaan rakannya itu, mereka mencari katak dimaksudkan sepanjang malam sehingga ia ditemui di bawah tangga rumah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Dia mendakwa, mereka bernasib baik kerana katak puru itu ditemui awal kerana keadaannya yang tinggal nyawa-nyawa ikan menandakan rakannya mungkin menemui ajal pada bila-bila masa.
SPG : Dunia sekarang dah maju pun ada lagi benda-benda jahat guna santau nie...