Katak Puru: Menjadi 'Alat' mainan santau
Risiko sebagai anggota polis bukan sekadar ancaman maut melalui senjata  moden, tetapi turut diserang melalui cara mistik oleh penjenayah yang  menyimpan dendam kesumat apabila kegiatan mereka ditumpaskan.
  Itu terpaksa ditempuhi seorang anggota polis hanya mahu dikenali  sebagai Hafis dan empat rakan sekerjanya yang kini menderita sakit perut  dipercayai akibat ditujukan ‘santau katak puru’ dan ‘santau angin’ oleh  seorang dalang sindiket mencuri motosikal.
Dia dan tiga rakan lain mengalami nasib sama, namun cara santau  yang digunakan berbeza. Kata pengamal perubatan tradisional, mereka berempat ditujukan santau  angin yang menyebabkan mereka sakit perut. Menurut beliau orang yang  menghantar santau itu menggunakan objek seperti paku, jarum, rambut dan  tulang babi hutan sebagai ramuan racun yang dimasukkan ke dalam makanan mereka.
Mereka dinasihatkan supaya tidak makan di restoran  kegemaran kerana racun santau itu ditujukan terus ke situ. Bukan sekadar  melalui makanan, malah racun santau juga akan ‘melekat’ pada badan mereka  setiap kali mereka datang ke restoran berkenaan.
Menurut Hafis, 23, akibat perbuatan  itu seorang daripada rakannya  paling teruk menderita apabila ditujukan santau katak puru hingga  menyebabkan perutnya membesar seperti wanita mengandung dan keras  seolah-olah diisi pasir dan batu.
Menurutnya, kejadian itu mula mereka sedari awal bulan lalu apabila  seorang rakan terbabit memberitahu dia menerima SMS amaran berbunyi  ‘siaplah korang, salah satu jarum akan kena pada kau dan kawan-kawan kau  yang lain...tunggu je lah hari mati korang’.SMS itu dihantar seorang daripada suspek sindiket mencuri motosikal yang mereka tumpaskan Mei lalu dan dia kini masih dalam proses  pengadilan.
Namun, mereka tak ambil berat sangat mengenai SMS itu kerana hal  ugut-mengugut dan amaran sudah lumrah dalam kerjaya mereka. Bagaimanapun, kata Hafis, telahannya meleset apabila selang seminggu  kemudian, dia menerima khabar seorang rakannya yang terbabit dalam usaha  melumpuhkan sindiket mencuri motosikal itu sakit teruk akibat penyakit  misteri.
 Pengamal perubatan tersebut mengatakan penyakit itu ada kaitan dengan  seekor katak puru yang diletakkan dalam kawasan rumahnya dan haiwan  itu  digunakan sebagai ‘alat’ untuk memastikan ilmu hitam yang ditujukan  kepada mangsa lebih berkesan.Lebih menakutkan, pengamal perubatan  berkenaan memberitahu jika katak itu tidak ditemui, kawannya itu sukar  dipulihkan dan akan menemui ajal perlahan-lahan, katanya.
Hafis berkata, bimbang keadaan rakannya itu, mereka mencari katak  dimaksudkan sepanjang malam sehingga ia ditemui di bawah tangga rumah  dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Dia mendakwa, mereka  bernasib baik kerana katak puru itu ditemui awal kerana keadaannya yang  tinggal nyawa-nyawa ikan menandakan rakannya mungkin menemui ajal pada  bila-bila masa.
SPG : Dunia sekarang dah maju pun ada lagi benda-benda jahat guna santau nie...